Monday, December 1, 2008

Apabila zina lebih mudah dari berkahwin

Petikan ini adalah daripada Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis yang telah dihantar ke yahoo group. Saya jadikan post untuk kali ini sebab agak menarik isu yang dihuraikan dan datangnya pun daripada seorang mufti, jadi boleh dipercayai, insyaAllah. Moga bermanfaat dan membuka minda masing-masing sungguhpun isu ni dah lama diperkatakan, tapi masyarakat masih tak mahu membuka pekung di dada. Selamat membaca.. =)

MINGGU depan adalah minggu terakhir saya sebagai Mufti Negeri Perlis. Tulisan hari ini adalah yang kedua sebelum yang terakhir pada minggu hadapan. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan sepanjang tempoh dua tahun menjadi mufti. Namun, nampaknya saya terpaksa tangguhkan terlebih dahulu hasrat itu kerana buat penghabisan kali di atas jawatan ini saya ingin menyentuh kerenah perkahwinan dalam negara ini. Hal ini penting terutama menjelang musim cuti sekolah kerana ramai yang akan berkahwin.
Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegah yang makruf dan mencegah yang munkar. Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat Islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah SWT.
Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumah tangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-kerenah yang pelbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-kerenah itu wujud disebabkan kepentingan- kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.
Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibu bapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya. Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi SAW: “Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam erti kata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mi pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya: “Kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?” Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya. Sepatutnya si bapa bertanya: “Kau dah ada pasangan ke?” Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam Rukun Nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi SAW bersabda: “Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka, menderitalah bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.

5 comments:

KA said...

wah menarik artikel..
isu yg bagus...
birokrasi mmg memakan masa...
malah aku pernah dgr ada mahkamah yg diberi black list olh kaum isteri kerana mereka ni berat sebelah kpd pihak suami..maka susah utk isteri menang kes huhuhu
kena kaunseling kan diorg ni

Muaz Nabil said...

wa..bgus2. kenapa yunus? are u one of the victim?
sabaq2 no...takpa2. nnt bincang balik ngan family ok.
:p

Faiez Fauzi said...

*yawn*
hrmmm... sabar ok bro, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Bak kata muaz, benda ni boleh di bawa berbincang :D

yunus_sahar said...

aigoo..

KA said...

laa ko salah sorang drp mereka ke?
aku bersimpati dgn ko
perlukan khidmat lawyer nikah cerai terhandal???
sila dail 0983xxxxxx
mimpi ngeri pasti tidak akan menjadi igauan lagi